11 termasuk 3 wanita Vietnam ditahan sambut hari jadi

11 termasuk 3 wanita Vietnam ditahan sambut hari jadi

Semasa pemeriksaan dijalankan, difahamkan kesemua suspek baru selesai acara memotong kek serta sedang leka berparti dengan bunyi alunan muzik kuat.

BUTTERWORTH:
Polis menahan 11 individu termasuk tiga wanita warga Vietnam yang sedang leka menyambut hari lahir dalam satu parti liar di sebuah kondominium di Jalan Lestari di sini, malam tadi.

Dalam serbuan pukul 11 malam itu, polis menahan lapan lelaki tempatan dan tiga wanita itu selepas menerima aduan daripada orang awam, memaklumkan terdapat bunyi bising di unit kondominium tingkat 19 berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra’ais berkata, semua mereka yang ditahan itu berusia 19 hingga 35 tahun dan siasatan mendapati rumah tersebut disewa dua lelaki bersama tiga wanita tersebut, yang merupakan kekasih mereka.

“Serbuan dibuat susulan laporan yang pihak polis terima berhubung bunyi bising daripada rumah itu dan semasa pemeriksaan dijalankan, difahamkan mereka baru selesai acara memotong kek serta sedang leka berparti dengan bunyi alunan muzik kuat.

“Parti hari lahir itu dianjurkan oleh seorang daripada lelaki yang menyewa di situ untuk menyambut hari jadi teman wanitanya berusia 22 tahun dan dia kemudiannya memanggil enam lagi rakannya (lelaki) bagi meraikannya bersama-sama mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati dua lelaki yang menyewa rumah itu mengenali wanita warga asing tersebut ketika mengunjungi pusat hiburan sebelum ini dan tinggal sebumbung selepas menjadi pasangan kekasih.

Rahimi berkata, siasatan juga mendapati rumah itu di sewa dengan kadar bayaran sewa RM1,450 sebulan dan mereka yang ditahan bekerja sebagai sebagai peniaga haiwan, pekerja kilang serta pekerja kedai barangan sejuk beku.

Katanya, tiada sebarang dadah ditemui di rumah tersebut ketika serbuan namun ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati empat lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang wanita positif ketamin.

“Dalam serbuan itu, polis merampas speaker, belon dan perhiasan sambutan hari lahir tersebut,” katanya.

Katanya semua mereka direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan beliau turut memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah agar tindakan segera dapat diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.