PKR Kelantan nafi lebih 100 ahli masuk Umno

PKR Kelantan nafi lebih 100 ahli masuk Umno

Ketua Mohamad Suparadi Md Noor berkata jumlah sebenar tidak sampai 20 orang.

Penyokong pkr dengan bendera
Ketua PKR Kelantan Mohamad Suparadi Md Noor berkata jumlah mereka yang keluar tidak menjejaskan parti kerana keahlian baharu meningkat 100 hingga 500 orang sebulan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PKR Kelantan menafikan dakwaan lebih 100 ahlinya di Rantau Panjang keluar parti untuk menyertai Umno.

Ketua Mohamad Suparadi Md Noor berkata, jumlah sebenar tidak sampai 20 orang yang kebanyakannya ‘ahli keluarga yang sama’.

Beliau menjelaskan, tindakan itu bukan kerana kecewa dengan prestasi Ketua Cabang Rantau Panjang, Nik Ghazali Nik Md Amin, tetapi tidak berpuas hati pelantikan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) baharu.

“Mereka masuk Umno sebab tak puas hati pelantikan JPKKP, bukan kerana ketua cabang tidak cakna kepada rakyat,” katanya kepada FMT.

Suparadi berkata, jumlah keluar parti itu tidak menjejaskan PKR kerana keahlian baharu meningkat 100 hingga 500 orang sebulan.

“Malah yang mereka sertai Umno…bukannya PAS jadi tak beri kesan sebab Umno rakan kita. Jadi, kalau mereka rasa Umno lebih baik daripada PKR teruskan, kita tak ada masalah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lebih 100 ahli PKR Mukim Lubok Gong keluar parti kerana tidak sehaluan dengan ketua kawasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.