Jangan buat ujian antibodi Covid-19, masih tiada garis panduan klinikal, kata Khairy

Jangan buat ujian antibodi Covid-19, masih tiada garis panduan klinikal, kata Khairy

Khairy Jamaluddin berkata ujian sedemikian tidak digalakkan seperti mana garis panduan dikeluarkan CDC dan FDA Amerika Syarikat serta amalan di negara lain.

Khairy Jamaluddin berkata KKM bakal keluarkan kenyataan dalam masa terdekat berhubung ujian antibodi vaksin Covid-19.
PETALING JAYA:
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin mengingatkan orang ramai untuk tidak menjalankan ujian antibodi vaksin kerana masih tiada garis panduan klinikal dikeluarkan.

Beliau berkata, ujian sedemikian tidak digalakkan seperti mana garis panduan dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat serta amalan di negara lain.

“Kementerian Kesihatan (KKM) bakal keluarkan kenyataan dalam masa terdekat (mengenai perkara itu).Masih tidak ada garis panduan klinikal untuk ujian antibodi mana yang boleh hasilkan keputusan yang tepat,” katanya menurut laporan Bernama.

Khairy berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagaimanapun sedang menjalankan kajian mendalam mengenai kesan pengambilan vaksin Covid-19 ke atas sistem imun dan hasil kajian akan diumumkan kepada orang ramai.

Sementara itu, Khairy berkata esok beliau akan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar serta memberi taklimat kepada kerajaan negeri Johor mengenai perancangan dalam memastikan peningkatan kes di negeri itu dapat dikawal melalui pelbagai strategi vaksinasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata Malaysia kini mendahului senarai vaksinasi harian per kapita di seluruh dunia namun dengan bekalan vaksin yang masih terhad, pemberian optimum negara sukar untuk melepasi kadar semasa 400,000 hingga 500,000 dos vaksin sehari.

“Bukan semua bekalan vaksin kita telah sampai. Bila kita beli, bekalan vaksin akan tiba dari minggu ke minggu, penghantaran mingguan. Jadi, sangat sukar untuk melepasi itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.