Cuma minta, tak terima RM700,000, hukuman Peguam Kanan Persekutuan wajar, kata TPR

Cuma minta, tak terima RM700,000, hukuman Peguam Kanan Persekutuan wajar, kata TPR

Timbalan Pendakwa Raya kes itu menjelaskan tertuduh kes itu hanya meminta rasuah sebelum ditangkap dalam operasi SPRM.

Timbalan Pendakwa Raya berkata, Lim Cheah Yit tidak menerima wang habuan seterusnya hukuman denda RM130,000 terhadapnya adalah berpatutan.
GEORGE TOWN:
Hukuman denda RM130,000 dan penjara sehari terhadap seorang Peguam Kanan Persekutuan (PKP) oleh Mahkamah Sesyen baru-baru ini adalah wajar kerana tertuduh hanya meminta habuan tetapi tidak menerima wang, kata pendakwa kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mokhtar berkata, laporan mendakwa PKP terlibat menerima rasuah RM700,000 adalah berdasarkan maklumat tidak tepat diberikan kepada media.

Katanya, tertuduh, Lim Cheah Yit, 42, hanya menerima wang sebanyak RM100,000 malah itu juga ketika perangkap dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan wang yang ditanda.

Mukhzany berkata, memandangkan Lim tidak menerima sesen pun, sebaliknya hanya meminta habuan, denda RM130,000 dan penjara sehari terhadapnya adalah wajar mengikut fakta kes yang dibentangkan di mahkamah.

Menjelaskan tiga tuduhan terhadap Lim itu, Mukhzany berkata, tuduhan pertama melibatkan meminta rasuah RM500,000 daripada individu bernama Goh Kim Seong di sebuah pusat karaoke di Gurney Drive.

Katanya, ini bagi memujuk PKP itu mendakwa seorang lelaki bernama Chan Eng Leong kerana menipu.

Ketika itu, Lim adalah pendakwa di Pejabat Pendakwa Raya di Pulau Pinang.

Tuduhan kedua pula, katanya, adalah apabila dia merunding dan menerima tawaran habuan lebih rendah daripada Goh iaitu RM100,000 untuk tujuan sama, berdasarkan siasatan SPRM Kedah terhadap Lim.

Bagi tuduhan ketiga, Lim “menerima” RM100,000 di sebuah hotel di Bayan Lepas ketika operasi perangkap oleh SPRM menggunakan wang yang telah ditanda.

Mukhzany berkata, Lim didakwa atas tiga tuduhan rasuah – meminta, menerima dan mengambil wang berkenaan ketika perangkap dibuat – mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.

Dia juga diberikan tuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Akta SPRM membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula menjadikannya kesalahan untuk kakitangan awam mendapat sebarang benda bernilai daripada seseorang melibatkan prosiding atau transaksi dilakukan kakitangan awam itu. Ia membawa hukuman maksimum penjara dua tahun dan/atau denda.

Lim meminta dibicarakan bagi Akta SPRM pada 6 Julai, 2020 di Mahkamah Sesyen Butterworth, tetapi ketika sebutan kes pada Khamis, telah mengaku salah terhadap tuduhan pilihan di bawah Seksyen 165.

Mukhzany berkata, selepas mengaku salah, Lim didenda RM50,000 bagi tuduhan pertama, dan masing-masing RM40,000 bagi tuduhan kedua serta ketiga. Dia turut dipenjara sehari bagi setiap tuduhan, yang berjalan serentak.

Mahkamah turut mengenakan penjara tiga tahun bagi setiap tuduhan sekiranya Lim gagal membayar denda itu.

Selain itu, katanya, Lim membayar denda RM130,000 seterusnya tidak perlu menjalani hukuman penjara lanjut.

Mukhzany berkata, ada kesilapan maklumat bahawa tuduhan berkenaan melibatkan RM700,000, yang diberikan kepada media oleh pegawai SPRM sebelum ini, seterusnya telah mengakibatkan kekeliruan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.