
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata polis melakukan serbuan sekitar 1.30 pagi hasil aduan awam bahawa terdapat sejumlah individu berkumpul di lokasi itu.
Katanya, empat daripada mereka yang ditahan adalah remaja yang masih bersekolah.
“Pihak polis telah merampas satu peket disyaki ganja dengan anggaran berat 2.3g di lokasi kejadian. Unit kondominium mewah tersebut disewa oleh salah seorang suspek dengan kadar RM200 semalam dan semua suspek berhubung menggunakan aplikasi WeChat,” katanya dalam kenyataan.
Semasa serbuan, Baharudin berkata ada antara suspek terlibat dalam keadaan khayal kerana disyaki berada di bawah pengaruh dadah, selain keletihan selepas berpesta sejak 9 malam.
Baharudin berkata sebanyak 15 kompaun telah dikeluarkan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard di bawah Perkara 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atas kesalahan menghadiri aktiviti berkumpul dengan kehadiran yang ramai sehingga sukar untuk melaksanakan penjarakan fizikal, dengan masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 .
Selain itu, katanya, semua suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian saringan awal mendapati lapan remaja lelaki positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), amphetamine, methamphetamine dan benzo manakala tiga suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah berkaitan dadah,” katanya
Sementara itu, katanya, Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini telah membenarkan reman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.