Dakwa PM ‘tipu’ Agong, Wanita PH buat laporan polis

Dakwa PM ‘tipu’ Agong, Wanita PH buat laporan polis

Mereka mendesak Perdana Menteri disiasat segera kerana dipercayai telah berbohong kepada Agong mengenai jumlah sokongan Ahli Parlimen dimilikinya.

Semalam, dalam satu perutusan khas, Muhyiddin berkata, beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dan bersedia menghadapi usul undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat bulan depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wanita Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis semalam agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin disiasat segera kerana dipercayai telah berbohong kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai jumlah sokongan Ahli Parlimen yang dimilikinya.

Timbalan Ketua Wanita PH Aiman Athirah Sabu berkata, laporan polis dibuat pada 8 malam semalam supaya presiden Bersatu itu disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang sewajarnya.

Tegasnya, kira-kira 115 Ahli Parlimen, iaitu 107 daripada pembangkang dan lapan daripada Umno, sepakat menolak kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan mengisytiharkan kehilangan kepercayaan terhadap beliau.

“Justeru itu, kami berpendapat yang berkemungkinan besar Mahiaddin (Muhyiddin) Yassin mempersembahkan akuan sokongan palsu kepada Yang di-Pertuan Agong apabila beliau menyembah maklum bahawa masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, dalam satu perutusan khas, Muhyiddin berkata, beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dan bersedia menghadapi usul undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat bulan depan.

“Melalui cara ini (usul percaya), kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional yang memerintah dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.

Muhyiddin membuat pengumuman itu setelah memaklumkan kepada Agong pada pagi semalam bahawa beliau mempunyai sejumlah surat akuan daripada Ahli Parlimen yang membuktikan beliau masih mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“(Justeru) peletakan jawatan saya….adalah tidak berbangkit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.