Bertindak ikut hati nurani, Patriot beritahu Ahli Parlimen

Bertindak ikut hati nurani, Patriot beritahu Ahli Parlimen

Setiap Ahli Parlimen mempunyai kewajipan terhadap negara dan mustahak bagi mereka untuk bertindak demi kepentingannya, kata Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata, pengumuman Perdana Menteri bahawa Parlimen hanya akan bersidang pada September memburukkan keadaan.
PETALING JAYA:
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyeru penggubal undang-undang agar bertindak mengikut hati nurani dan selaras dengan aspirasi rakyat.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata, setiap Ahli Parlimen mempunyai kewajipan terhadap negara dan mustahak bagi mereka untuk bertindak demi kepentingannya.

“Kami meminta semua Ahli Parlimen, di kedua-dua belah pihak dan di Malaysia Barat dan Timur, untuk bertindak mengikut hati nurani,” katanya dalam kenyataan susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa beliau akan membuktikan majoritinya di Parlimen pada September setelah Agong memberi perkenannya.

“Patriot akan mengecam tindakan mana-mana Ahli Parlimen yang menyebelahi pihak-pihak tertentu atas dorongan tipu daya atau semata-mata untuk tujuan keuntungan diri.

“Kami juga mengecam segala bentuk paksaan yang dibuat terhadap penggubal undang-undang untuk menyokong mana-mana pihak,” katanya.

Arshad berkata, pengumuman Muhyiddin bahawa Parlimen hanya akan bersidang pada September memburukkan keadaan.

“Ahli Parlimen pembangkang menuntut agar sidang khas Parlimen dipanggil segera untuk memutuskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, Patriot bimbang wujud percubaan dalam tempoh beberapa minggu akan datang sehingga Parlimen bersidang untuk “memikat” Ahli Parlimen.

Justeru sidang Parlimen perlu diadakan serta-merta agar krisis ini dapat diselesaikan segera, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.