(KEMASKINI) PM selesai menghadap Agong

(KEMASKINI) PM selesai menghadap Agong

Kenderaan membawa Muhyiddin dilihat keluar dari Istana Negara pada 11.50 pagi selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong kira-kira sejam.

PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara sebentar tadi.

Kenderaan membawa Muhyiddin dilihat keluar dari Istana Negara pada 11.50 pagi selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong kira-kira sejam.

Terdahulu, Bernama TV melaporkan kenderaan yang membawa perdana menteri dilihat memasuki Pintu 1, Istana Negara pada pukul 10:53 pagi tadi.

Sebelum itu, kenderaan yang membawa Peguam Negara, Idrus Harun juga dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara pada 9.30 pagi tadi.

Kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri dipersoalkan apabila Umno semalam membuat ketetapan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Keabsahan pentadbiran Muhyiddin juga menjadi tanda tanya apabila Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Nasarah meletak jawatan serta-merta.

Pergolakan politik tanah air terus memuncak apabila sekurang-kurangnya 11 Ahli Parlimen Umno difahamkan menghantar akuan menarik sokongan terhadap perdana menteri untuk diserah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Petugas media mula berkumpul di beberapa lokasi di sekitar ibu negara termasuk Istana Negara dan kediaman Muhyiddin sejak awal pagi tadi, selain pintu masuk utama bangunan Pejabat Perdana Menteri bagi meninjau lebih dekat perkembangan terkini politik tanah air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.