
Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan pakar perubatan telah menasihatkan baginda supaya berehat sepenuhnya dan tidak berangkat ke sebarang majlis rasmi bagi memberi ruang kepada rawatan serta proses pemulihan.
Sehubungan itu, baginda tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama perdana menteri, Kabinet, ketua perwakilan asing dan pegawai kanan kerajaan di Istana Negara, kelmarin.
Selain itu, majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim semalam yang telah ditangguhkan ke tarikh lain.
“Yang di-Pertuan Agong bertitah akan kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi sebaik kesihatan baginda beransur pulih,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dalam hantaran di Facebook berkata beliau dan Ahli Parlimen blok itu mendoakan kesejahteraan untuk Yang di-Pertuan Agong.
“Semoga Allah memberikan kesihatan sempurna kepada Seri Paduka Baginda demi meneruskan naungan dan payung kedaulatan kepada agama, bangsa dan negara yang tercinta.
“Daulat Tuanku,” katanya.