
Bagaimanapun, seorang peguam lain berkata, polis menghina Parlimen.
Zainur Zakaria berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menangguhkan sidang hari ini atas nasihat pihak berkuasa kesihatan disebabkan situasi Covid-19 yang semakin memburuk.
“Bangunan Parlimen sudah ditutup dan dapat dipertikaikan sama ada Ahli Parlimen boleh membuat demonstrasi,” kata Zainur, bekas presiden Badan Peguam.
Beliau berkata, oleh sebab Parlimen tidak bersidang, Ahli Parlimen dianggap orang awam yang berkumpul untuk menunjuk perasaan.
Sebagai warganegara, katanya, mereka ditadbir oleh undang-undang di bawah Ordinan Darurat dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“Pihak polis menguatkuasakan undang-undang dan Ahli Parlimen boleh disiasat. Saya tidak rasa hujah perlembagaan boleh digunakan,” katanya kepada FMT.
Zainur mengulas mengenai protes oleh Ahli Parlimen hari ini, yang berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju bangunan Parlimen tetapi dilarang masuk.
Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah, yang juga seorang peguam, sebelumnya memaklumkan di Twitter, wakil rakyat berkenaan dilarang memasuki pekarangan Parlimen dengan sekatan jalan raya dan kehadiran polis.
“Dengan menyekat akses ke Parlimen, pihak berkuasa bersikap menghina (Parlimen) kerana pada sesi tahun lalu, satu usul yang diluluskan memaklumkan Ketua Polis Negara (KPN) bahawa tiada Ahli Parlimen yang dilarang memasuki Parlimen pada bila-bila masa,” katanya.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali bersetuju dengan berkata, tindakan menyekat akses Ahli Parlimen kepada perundangan persekutuan bercanggah dengan perlembagaan.
“Parlimen sebelum ini dijadualkan bersidang hari ini. Perdana Menteri yang membatalkan sidang atas nasihat pihak berkuasa kesihatan,” katanya.
Rafique berkata, Parlimen adalah tempat Ahli Parlimen melaksanakan kewajipan demokratik mereka dan mengutarakan isu rakyat.
“Apa yang terjadi hari ini adalah kerajaan berusaha membungkam suara rakyat,” katanya.
Dakwanya, Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri ingkar terhadap Agong kerana sebagai ketua utama negara, baginda telah berkali-kali menitahkan Parlimen perlu bersidang untuk membahaskan Ordinan-ordinan dan Perisytiharan Darurat.