
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes indeks mula mengalami gejala pada 25 Julai lalu, sebelum disahkan dijangkiti Covid-19, empat hari kemudian hasil saringan individu bergejala.
“Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Tok Junuh Mahligai, Melor, Bachok.
“Sehingga kini, seramai 28 individu sudah disaring dengan 13 daripadanya dijangkiti virus,” katanya dalam kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata, kluster komuniti itu antara satu daripada 23 kluster baharu yang dikesan.
“Terdapat 11 kluster baharu hari ini membabitkan tempat kerja, lapan dalam kalangan komuniti, dua kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu institusi pendidikan dan pusat tahanan.
“Selangor masih mencatat jumlah tertinggi dengan 6,326 kes, diikuti Kuala Lumpur (2,086), Kedah (1,511), Johor (1,045) dan Sabah (1,002). Seterusnya, Negeri Sembilan (809), Pulau Pinang (752), Perak (693), Melaka (686), Pahang (676), Sarawak (578), Kelantan (459), Terengganu (429), Putrajaya (72), Perlis (21) dan Labuan (lima),” katanya.