
Penolong Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Putrajaya, Haslin Abdul Razak, 46, dan Mohd Irwan Redzuan Abdullah, 44, didakwa mengemukakan tuntutan palsu itu bagi pembekalan makan minum sempena Majlis Ramah Mesra Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama penduduk Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka, yang tidak dilaksanakan.
Haslin ketika itu memegang jawatan Pengarah JAKOA Negeri Sembilan/Melaka, menurut laporan Bernama.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat JAKOA Negeri Sembilan/Melaka, di Wisma Persekutuan, Jalan Datuk Abdul Kadir dekat Seremban, pada 6 Dis 2016.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Hakim Madihah Harullah mengarahkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan mereka melaporkan diri pada setiap bulan di Pejabat SPRM Seremban, Negeri Sembilan.
Mahkamah turut menetapkan 24 Sept untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala Haslin diwakili peguam Marisa Regina Mohd Aris Rizal. Mohd Irwan tidak diwakili peguam.