
KKM menjelaskan, pewartaan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 adalah di bawah Subseksyen 11(1) Akta 342, dan memberikan kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana lokasi sebagai kawasan tempatan jangkitan.
Menurut KKM, perintah itu pertama kali dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lalu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) yang pertama dengan setiap negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia telah ditetapkan sebagai kawasan tempatan jangkitan.
Susulan itu, perintah berkenaan yang sepatutnya tamat pada 1 Ogos, kini dilanjutkan hingga 31 Disember.
Katanya, ini bagi menjelaskan kekeliruan antara Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dengan Pengisytiharan Darurat yang dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 yang sedia ada untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit,” katanya dalam kenyataan.
KKM berkata, perintah itu juga berkuat kuasa bersama peraturan yang dibuat di bawah Subseksyen 11(2) termasuk arahan Ketua Pengarah dan peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut kenyataan itu, perintah berkenaan telah diwartakan dan merupakan dokumen awam yang boleh diakses melalui portal Jabatan Peguam Negara. Susulan itu, semua pihak diminta tidak membuat tafsiran tersendiri dan tidak tepat bagi mengelak salah faham dan kekeliruan.