
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jumlah kes aktif pada 29 Jun lalu ialah 62,844 dan ia meningkat 2.85 kali ganda dalam sebulan kepada 179,179 kes semalam.
Katanya, jika trend kenaikan itu berterusan, jumlah kes aktif Covid akan meningkat kepada 510,870 kes pada 29 Ogos dan 1.46 juta kes pada 29 September ini.
Beliau berkata, peningkatan jumlah kes aktif akan memberi impak langsung kepada jumlah pesakit kritikal dan kematian kelak.
“Bayangkan hampir 180,000 orang di Malaysia sedang positif Covid semalam.
“Apa paras maksimum bagi kes aktif sebelum kerajaan akan bertindak dengan mengubah pendekatan untuk melawan Covid?
“Ataupun kerajaan akan biarkan jumlah kes aktif terus naik tanpa batas sebab kerajaan sudah meramalkan kes baharu akan cecah 24,000 kes dua bulan kemudian, iaitu pada September sambil bergantung penuh bahawa vaksin akan berkesan?” soalnya di Facebook.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan jangkitan Covid-19 akan memuncak pada pertengahan September, dengan 24,000 kes sehari.
Najib mengkritik kerajaan kurang tindakan dalam melawan virus di sebalik jangkaan itu.
“Kenapa pula kerajaan ramal dan rancang kes Covid akan naik kepada 24,000 pada September tanpa melaksanakan langkah intervensi untuk halang kes naik kepada 24,000 sedangkan September masih sebulan kemudian?”
Hari ini, Kementerian Kesihatan melaporkan 16,840 kes baharu Covid-19 dan 134 kematian, manakala 12,179 pesakit pulih.
Hisham berkata, terdapat 183,706 kes aktif dengan rekod 1,055 pesakit di unit rawatan rapi dan 532 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.