
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon, berkata demikian selepas sidang tertangguh tiga kali yang sepatutnya bermula 2.30 petang tadi.
“Hasil daripada ujian saringan di Parlimen hari ini, didapati dua kes positif baru dikesan.
“Jadi jumlahnya setakat ini, ada empat orang yang positif Covid-19.
“Dengan itu saya menangguhkan mesyuarat sehingga 5.30 dan disambung Isnin,” katanya di Dewan Rakyat.
Rashid juga meminta Ahli Parlimen yang hadir pada 26 hingga 28 Julai lalu tetapi tidak hadir hari ini di Dewan Rakyat membuat ujian saringan Covid-19 di klinik berdekatan dengan segera.
Terdahulu, Persidangan Khas Dewan Rakyat petang ini sekali lagi ditangguh sehingga jam 5.15 petang tadi berikutan dimaklumkan terdapat dua kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen.
Arahan itu dikeluarkan Rashid semasa sesi petang persidangan yang sepatutnya bermula jam 2.30 petang tadi.
Sebelum itu persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan dari jam 2.30 petang sehingga 3.30 petang selepas pembangkang meminta Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun membuat satu keputusan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan yang dikatakan telah mengelirukan Dewan Rakyat.
Ini susulan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah terdahulu menzahirkan rasa dukacita dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen, walhal ia belum lagi diperkenan baginda.