Pembatalan Ordinan Darurat terus jadi perdebatan Ahli Parlimen

Pembatalan Ordinan Darurat terus jadi perdebatan Ahli Parlimen

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, semua proses pembatalan Proklamasi Darurat perlu dibuat mengikut prosedur yang betul.

Hassan Abdul Karim berkata, ada baiknya prosedur pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat dibuat mengikut proses sewajarnya dan undang-undang yang betul dan tertib. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen PKR hari ini membangkitkan isu pembatalan Ordinan Darurat walaupun setelah memasuki hari keempat sidang khas Parlimen berlangsung.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, semua proses pembatalan Proklamasi Darurat perlu dibuat mengikut prosedur yang betul.

“Kita kedua-dua pihak bersetuju bahawa Proklamasi Darurat ini hendak dibatalkan, Ordinan Darurat ada tujuh saya lihat yang dibentangkan di atas meja kita dan telah dimaklumkan Kabinet telah membatalkan, kami setuju.

“Tetapi ada baiknya prosedur pembatalan Proklamasi Darurat dan ordinan itu kita buat mengikut proses sewajarnya dan undang-undang yang betul dan tertib,” katanya pada sesi pembukaan urusan aturan mesyuarat Sidang Khas Parlimen.

Dalam pada itu, Hassan berkata, proses undang-undang bukan berada di tangan Kabinet tetapi dalam tangan Ahli Parlimen.

Beliau memohon sedikit masa untuk proses pembatalan itu dibincangkan dan tamatkan secara betul dan kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Kita batalkan untuk diperkenan oleh Agong dan proses sewajarnya itu kita lakukan sebaik-baiknya untuk rakyat dan negara,” katanya.

Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan membatalkan enam Ordinan Darurat bermula 21 Julai lalu.

Takiyuddin juga mengumumkan, kerajaan tidak akan menasihati Agong untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.