Ahli Parlimen Umno perlu tarik sokongan terhadap PM, desak Pemuda Umno

Ahli Parlimen Umno perlu tarik sokongan terhadap PM, desak Pemuda Umno

Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia selari dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 7 Julai lalu yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA:
Pemuda Umno mendesak Ahli Parlimen parti itu menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selari dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai lalu.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebagai sebuah parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan Umno, parti itu tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan Perikatan Nasional terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi Pemuda Umno, tindakan kerajaan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kerana membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara.

“Justeru, Pemuda Umno mendesak supaya Muhyiddin Yassin untuk segera meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri kerana jelas melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat, walhal ia belum lagi diperkenan baginda.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Agong menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan pada Isnin adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

“Kenyataan Media Istana Negara juga mendedahkan bahawa kerajaan dengan sengaja ingkar dan melanggar titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” kata Asyraf lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.