Polis siasat petugas media ceroboh PKRC, bukan Hartal Doktor Kontrak

Polis siasat petugas media ceroboh PKRC, bukan Hartal Doktor Kontrak

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed menafikan dakwaan pihaknya membuat siasatan terhadap demonstrasi Hartal Doktor Kontrak.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed menafikan dakwaan bahawa pihaknya membuat siasatan terhadap demonstrasi Hartal Doktor Kontrak di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, kelmarin.

Arjunaidi sebaliknya berkata, siasatan dilakukan terhadap isu pencerobohan beberapa petugas media di PKRC itu.

Beliau berkata, pihaknya mendapat laporan daripada pengarah di pusat PKRC tersebut bahawa terdapat enam orang wartawan menceroboh masuk ke dalam pusat kuarantin.

“Polis sedang siasat isu pencerobohan yang berlaku di MAEPS, yang mana kita telah diberitahu bahawa pada tarikh tersebut enam wartawan telah masuk ke MAEPS yang merupakan satu kawasan pusat kuarantin dan rawatan penyakit berjangkit.

“Tempat itu sepatutnya tidak boleh dimasuki, sesiapa yang juga yang masuk ke tempat berkenaan perlu mendapat kebenaran dari pihak pengurusan,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Mengulas mengenai isu waktu keterangan doktor diambil, beliau berkata waktu itu dipilih iaitu pada tengah malam adalah untuk memudahkan para petugas sendiri.

Dalam sidang media, beliau berkata doktor yang disoal siasat pada ketika itu kerana waktu kerja mereka adalah 8 pagi hingga 8 malam, sambil menambah bahawa tidak selesa bagi mereka untuk disoal siasat selepas bekerja kerana mereka akan keletihan.

Arjunaidi juga menjelaskan, keterangan yang diambil daripada para doktor tersebut tidak ada kaitan dengan isu demonstrasi Hartal Doktor Kontrak, dengan menyatakan tunjuk perasaan itu tidak melanggar undang-undang atau SOP.

Tegasnya, doktor memberikan keterangan mereka berhubung dakwaan pencerobohan enam wartawan di pusat rawatan yang ingin membuat liputan tunjuk perasaan tersebut.

Enggan mendedahkan agensi media yang terlibat, Arjunaidi berkata, keenam-enam wartawan itu telah dikenal pasti dan akan segera dipanggil untuk memberikan keterangan mereka.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pihak polis tidak menyekat kebebasan pihak media sebaliknya tindakan diambil adalah untuk keselamatan bersama.

“Kita tidak sekat kebebasan media, tetapi kita akan biar media pergi “bunuh diri”, kami lakukan ini demi keselamatan rakyat..tempat tersebut berbahaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.