
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah juga memberi perkenan kepada kerajaan negeri untuk mengadakan persidangan pada tarikh itu.
“Baginda juga berkenan untuk menyampaikan titah perasmian secara ‘langsung’ dalam talian dari Istana Anak Bukit,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco.
Sementara itu, Sanusi turut memaklumkan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersetuju dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua hari lalu, untuk menambah jumlah dos vaksin kepada Kedah.
Beliau berkata, MOSTI bersetuju untuk memenuhi permintaannya dalam mesyuarat itu, untuk menambah pemberian vaksin daripada 130,000 dos seminggu kepada 220,000 dos seminggu.
Dalam pada itu, beliau berkata semua pegawai daerah, diarahkan segera memproses pendaftaran penduduk yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin, melalui semua kaedah termasuk secara manual menggunakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), masjid dan penghulu.
“Semua JPKK diminta memainkan peranan masing-masing, untuk mempercepatkan proses pendaftaran dan vaksinasi melalui apa-apa kaedah yang diputuskan, oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) setiap daerah,” katanya.
Katanya, proses vaksinasi secara “outreach” juga akan dilaksanakan di semua daerah.
Dalam perkembangan lain, Sanusi berkata perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Bukit Malut, Langkawi berjalan lancar, dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa.
Beliau berkata selain PKPD, penduduk kawasan itu akan didaftarkan sebagai penerima vaksin di khemah khas, dalam kawasan penempatan mereka dan proses vaksinasi juga akan dibuat segera kepada penduduk dalam penempatan itu.