Adham ‘sumbang’ kejayaan atlet Filipina raih emas Olimpik, kata pejabat menteri

Adham ‘sumbang’ kejayaan atlet Filipina raih emas Olimpik, kata pejabat menteri

Pejabat menteri kesihatan berkata Dr Adham Baba antara individu yang turut menyumbang terhadap kejayaan Hidilyn Diaz kerana memberi kelulusan segera bagi membolehkannya diberikan suntikan vaksin.

Hidilyn Diaz berlatih sementara di rumah kerana gimnasium ditutup namun berjaya meraih pingat emas di Tokyo dan suntikan vaksin yang diterima tepat pada masanya juga menyumbang kepada kejayaan itu, kata pejabat Menteri Kesihatan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Malaysia masih lagi memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020 namun Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mempunyai alasan tersendiri untuk meraikan “kemenangannya”.

Menurut pejabatnya, beliau antara individu yang turut menyumbang kepada kejayaan atlet Filipina, Hidilyn Diaz.

Kelmarin, atlet angkat berat itu berjaya meraih pingat emas dalam kategori 55kg wanita dan mencipta rekod baharu dengan disiplin “clean and jerk” dan keseluruhan acara.

Dia terkandas di Malaysia sejak Januari tahun lalu dan tidak dapat pulang ke negara asal akibat pandemik Covid-19 sehingga terpaksa menjalani latihan tanpa peralatan profesional kerana penutupan gimnasium manakala perintah kawalan pergerakan (PKP) pula masih berterusan.

Dr Adham Baba.

Ketiadaan akses terhadap peralatan latihan menyebabkannya terpaksa menggunakan peralatan sementara dengan dua botol air yang diikat pada kedua hujung kayu.

“Mungkin tidak ada yang tahu bahawa di sebalik kejayaan jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz merangkul emas pertama buat negaranya di Sukan Olimpik 2020, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia antara insan yang menyumbang kepada kejayaan Hidi,” kata kenyataan dikeluarkan pejabat Adham.

“Dr Adham adalah insan yang bertanggungjawab membantu Hidi menerima suntikan vaksin AstraZeneca sehingga melayakkan Hidi dan pasukannya dapat berangkat ke Tokyo, Jepun.”

Menteri Kesihatan itu memberi kelulusan segera kepada permohonan Duta Besar Filipina ke Malaysia, Charles C Jose supaya Diaz dan jurulatihnya diberi suntikan lengkap untuk berlepas menyertai temasya sukan berkenaan, kata kenyataan itu lagi.

Pada Sukan Olimpik Rio 2016, Diaz turut menamatkan kemarau pingat 20 tahun negaranya apabila berjaya meraih perak dalam kategori 53kg.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.