Kemas kini statistik harian, muatkan jumlah ujian kes pengesanan, kata Tony Pua

Kemas kini statistik harian, muatkan jumlah ujian kes pengesanan, kata Tony Pua

Ahli Parlimen Damansara mahu Ketua Pengarah Kesihatan laporkan kes aktif mengikut kategori secara harian, berbanding hanya melaporkan jumlah kes baharu setiap hari.

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata, kadar positif jangkitan di Malaysia adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada tanda aras 5% yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Kesihatan perlu memuatkan jumlah keseluruhan individu yang menjalani ujian pensampelan dalam statistik laporan harian terbaharu Covid-19, kata Ahli Parlimen Damansara Tony Pua.

Beliau berkata, adalah lebih baik sekiranya ujian pensampelan dan jumlah kadar positif jangkitan turut dilaporkan dalam bentuk data mingguan bagi “mengurangkan kepadatan data dan gangguan statistik”.

“Rakyat Malaysia berupaya mendapat gambaran sebenar sekiranya Kementerian Kesihatan menjalankan ujian pengesanan mencukupi, terutama sejak kadar positif melebihi 12%, iaitu dua kali ganda berbanding tanda aras ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu 5%,” katanya dalam kenyataan.

Pua berkata, pihak kementerian juga perlu memasukkan statistik baharu dalam laporan harian selepas mengambil kira landskap pandemik sejak wabak itu muncul lebih setahun lalu.

“Adalah lebih bermanfaat sekiranya data vaksinasi dimasukkan dalam laporan bagi mengetahui sama ada pesakit sudah menerima satu atau dua dos vaksin.

“Ketua Pengarah Kesihatan baru-baru ini memuatkan jumlah pesakit bagi kategori satu hingga lima dalam klasifikasi kes positif bagi hari berkenaan.

“Bagaimanapun seperti disarankan oleh Dr Kelvin Yii (Ahli Parlimen Bandar Kuching), pesakit yang sebelum ini dikategorikan sebagai kategori dua, mungkin berada dalam keadaan lebih teruk ke kategori empat dalam beberapa hari selepas itu,” katanya.

Justeru beliau berkata, adalah lebih berkesan jika pihak kementerian melaporkan kes aktif mengikut kategori secara harian, berbanding hanya melaporkan jumlah kes baharu setiap hari.

Pua berkata, menerusi laporan kes aktif mengikut kategori setiap hari, dinamik pesakit dapat dilihat, sama ada situasi pesakit semakin buruk atau semakin menunjukkan peningkatan dalam tempoh tertentu.

Beliau berkata, data berkenaan sepatutnya boleh diakses butirannya di peringkat negeri termasuk daerah di GitHub, sehubungan itu, pembuat dasar dan penganalisis data mampu menetapkan rawatan mengikut tahap sasaran.

Katanya, lebih banyak ketepatan data disusuli penekanan merangkumi jumlah pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), penggunaan ventilator dan data kematian, berbanding jumlah kes baharu Covid-19.

“Untuk mengubah paradigma rakyat Malaysia bahawa fokus kepada “sifar jangkitan Covid-19” masih lagi panjang dan mereka perlu memahami “norma baharu” yang pasti akan berlaku ribuan jangkitan kes.

“Namun begitu, nilai jangkitan kes berkenaan boleh diterima asalkan jumlah kes di ICU, (pesakit) memerlukan ventilator dan jumlah kematian diturunkan ke tahap paling minimum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.