
Syarikat Team Scaffolding & Insulation Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikatnya, Lau Kiew Ling, 39, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Menurut laporan Bernama, Norashima memerintahkan hukuman penjara enam bulan jika denda itu tidak dibayar.
Majikan itu didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja dengan perancah yang dipasang di tingkat enam dalam ‘calciner kiln 3’ mengikut reka bentuk yang selamat.
Akibatnya, dua pekerja warga Myanmar, Nay Lin, 25, dan Maung Maung Win, 32, maut selepas jatuh dari tempat tinggi di Tasek Corporation Berhad, Persiaran Tasek, Tasek Industrial Estate pada 12 tengah hari 5 Okt 2020.
Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 19 akta sama yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak Hasan Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, kedua-dua mangsa bersama tiga pekerja lain ditugaskan untuk melakukan kerja rombakan perancah di tingkat enam ‘calciner kiln 3’.
Dalam proses kerja merombak perancah berkenaan, mangsa memotong dawai pengikat ‘metal deck’ dan secara tiba-tiba perancah di dalam ‘calciner’ berkenaan condong ke arah Maung Win mengakibatkan dia dan Nay Lin jatuh ke tingkat satu berketinggian kira-kira 38 meter bersama ‘metal deck’ yang dipotong dawai pengikat.
Siasatan lanjut mendapati punca kemalangan disebabkan struktur perancah yang dipasang di dalam ‘calciner’, tingkat enam di ‘kiln 3’ tidak kukuh dan stabil disebabkan tiada lukisan reka bentuk diadakan bagi tujuan pemasangan perancah di dalam ‘calciner’ terbabit.
Hasil siasatan juga mendapati pemasangan perancah pada 3 Okt 2020 dijalankan tanpa penyeliaan terus daripada pengendali perancah yang berdaftar.
Pada 5 Okt tahun lepas, media melaporkan dua pekerja warga Myanmar maut selepas terjatuh ketika membuka perancah yang dipasang di bahagian dalam ruang ‘calciner’ sebuah kilang simen di Ipoh.