
Peguamnya, Sangeet Kaur Deo berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khair Haron memberi lanjutan masa itu kerana penghakiman Mahkamah Tinggi hanya dikeluarkan minggu lepas.
“Kami kini mempunyai sehingga 9 Ogos untuk memfailkan memorandum rayuan tambahan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan,” katanya kepada FMT selepas pengurusan kes secara maya di hadapan Khair.
Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes pada 11 Ogos.
Pada 26 April, hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya menolak permohonan Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk mendapat izin memulakan semakan kehakiman terhadap nasihat diberikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan, Abdullah Sultan Ahmad Shah, supaya mengisytiharkan darurat.
Susulan pemfailan notis rayuan sehari selepas itu, Anwar terus memfailkan alasan rayuan am tanpa memperoleh penghakiman bertulis daripada Mariana.
Mariana dalam penghakimannya berkata, peruntukan penyingkiran dalam Perkara 150(6) dan (8) Perlembagaan Persekutuan adalah sah dan tidak membolehkan semakan kehakiman bagi isu berhubung pengisytiharan darurat serta ordinan berkaitan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ini termasuk nasihat kepada Agong oleh Perdana Menteri dan Kabinet untuk mengisytiharkan ordinan seperti itu.
Ketika menolak permohonan itu, Mariana berkata, nasihat Perdana Menteri bukanlah keputusan yang boleh dikenakan semakan kehakiman.
Dalam permohonan yang difailkan pada 25 Januari itu, Anwar memohon deklarasi mahkamah bahawa keputusan Kabinet yang diketuai Muhyiddin untuk menasihatkan Agong mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, yang mengakibatkan Parlimen digantung, adalah tindakan yang melanggar Perlembagaan, menyalahi undang-undang, tiada kesan dan ultra vires.
Anwar turut memohon deklarasi bahawa Seksyen 14 tidak konsisten dengan Perkara 150(3) dan (5) Perlembagaan, seterusnya tidak sah.
Beliau turut memohon perintah mandamus supaya Muhyiddin dan kerajaan menasihatkan Agong membatalkan seksyen berkenaan.