Bantuan keperluan makanan perlu ikhlas tanpa mengira kaum, kata Sultan Johor

Bantuan keperluan makanan perlu ikhlas tanpa mengira kaum, kata Sultan Johor

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas satu rakaman video tular berhubung bantuan keperluan makanan harian yang disediakan di sebuah kedai runcit di kawasan Skudai, Johor Bahru yang didakwa menimbulkan soal perkauman.

Bantuan keperluan makanan harian yang disediakan di sebuah kedai runcit di kawasan Skudai, Johor Bahru yang didakwa menimbulkan soal perkauman.
JOHOR BAHRU:
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bantuan keperluan makanan yang disediakan atas dasar membantu golongan memerlukan perlu dilakukan secara ikhlas dan tidak melibatkan soal perkauman.

Menurut baginda, ketika ini terdapat ramai individu tanpa mengira agama dan bangsa mengalami kesulitan seperti kehilangan pekerjaan dan terputus pendapatan serta berdepan beban kewangan untuk membeli barangan keperluan makanan.

“Jika mahu membantu mereka yang dalam kesusahan, bantulah semua tanpa mengira kaum dan agama, lakukan secara ikhlas tanpa menimbulkan sebarang isu berkaitan perkauman,” titah baginda dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas satu rakaman video yang tular dalam media sosial semalam berhubung bantuan keperluan makanan harian yang disediakan di sebuah kedai runcit di kawasan Skudai, Johor Bahru yang didakwa menimbulkan soal perkauman.

Video berdurasi dua minit sembilan saat berkaitan bantuan itu yang didakwa khusus untuk kaum tertentu dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Difahamkan pemilik kedai tersebut sudah membuang notis yang diletakkan pada rak bantuan makanan itu dan memohon maaf.

Pemilik kedai itu juga mendakwa notis berkenaan diletak oleh salah seorang pekerja kedai runcit terbabit.

Sementara itu, baginda turut meminta orang ramai mengambil contoh kurniaan bantuan makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) yang disampaikan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa di seluruh Johor setiap minggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.