Keputusan kerajaan tak selesai isu kakitangan kontrak, kata persatuan farmasi

Keputusan kerajaan tak selesai isu kakitangan kontrak, kata persatuan farmasi

Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) berkata lanjutan setahun kontrak itu hanya bersifat sementara terhadap isu sudah lama dihadapi 5,000 pegawai farmasi kontrak di negara ini.

Persatuan Farmasi Malaysia berkata tempoh pelaksanaan imbuhan baharu masih kurang jelas.
PETALING JAYA:
Keputusan Jemaah Menteri mengenai isu doktor kontrak dilihat tersasar daripada objektif utamanya bagi menyediakan jaminan pekerjaan, pelarasan gaji dan faedah serta kurangnya ketelusan terhadap pelantikan ke jawatan tetap, kata Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).

MPS berkata lanjutan setahun kontrak itu hanya bersifat sementara terhadap isu yang sudah lama dihadapi 5,000 pegawai farmasi kontrak di negara ini.

Presiden MPS Amrahi Buang berkata tempoh masa pelaksanaan terhadap syarat imbuhan untuk naik taraf jawatan juga tidak begitu jelas.

“Pendirian kami bahawa perlulah melantik pegawai farmasi kepada gred UF43 untuk mereka yang sudah berkhidmat untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.

“Pelan penyelarasan gred harus diperincikan dengan tempoh masa yang jelas bagi mengelak isu birokrasi yang sama dihadapi ahli farmasi kontrak sejak 2016 lagi,” katanya satu kenyataan.

Amrahi Buang.

Amrahi mengulas keputusan kerajaan menawarkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun dan cuti belajar yang ditaja sepenuhnya bagi mengikuti pengajian kepakaran.

Katanya, lebih banyak ketelusan diperlukan dalam penentuan kriteria bagi melantik pegawai kontrak ke jawatan tetap memandangkan ia juga tidak dinyatakan dengan jelas menyebabkan ramai yang masih tertanya-tanya.

Katanya, MPS juga kesal wakilnya tidak dilibatkan dalam semua perbincangan setakat ini termasuk mesyuarat bersama perdana menteri yang diadakan dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) minggu lalu.

“MPS adalah pihak berkepentingan utama dalam menjaga kebajikan pegawai farmasi kontrak dan ia sepatutnya dilibatkan dalam apa saja pelan membuat dasar. Ia lebih adil sekiranya kami diwakili dalam perbincangan besar seperti itu pada masa hadapan,” katanya.

Amrahi berkata Malaysia berdepan kekurangan pegawai farmasi yang kebanyakannya membabitkan hospital daerah terutama di Sabah dan Sarawak yang tidak beroperasi 24 jam.

“Ini akan menyebabkan kemungkinan untuk membuat kesilapan pemberian ubat lebih tinggi terutama untuk pesakit yang dimasukkan ke hospital pada waktu malam. Kita tidak boleh mengambil risiko ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.