
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ramacantiran M Ananthan mendapati individu bergelang merah jambu, sama ada dijangkiti atau menjadi kontak rapat kes positif, pergi ke PKRC MAEPS untuk menghantar barang keperluan kepada ahli keluarga yang sedang menjalani rawatan.
Mengakui tindakan sedemikian tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri, beliau berkata, ia boleh mendedahkan petugas di pondok keselamatan MAEPS, yang menerima serahan itu kepada risiko jangkitan kerana mereka tidak dilengkapi alat perlindungan diri (PPE).
“Kita faham keadaan waris mengharapkan ahli keluarga mereka selesa dengan menyediakan barang keperluan, tetapi mereka perlu berfikir tentang 1,300 petugas di PKRC MAEPS yang menguruskan keperluan ahli keluarga mereka sedang terdedah kepada risiko, jangan menambah lagi risiko kami di sini,” katanya kepada Bernama di Putrajaya.
Beliau berharap waris pesakit positif Covid-19 atau dikuarantin kerana menjadi kontak rapat mengambil tanggungjawab bersama dalam usaha mengekang penularan memandangkan petugas barisan hadapan di PKRC MAEPS juga perlu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan itu.
Ramacantiran berkata, penghantaran barang keperluan oleh waris pesakit didapati agak keterlaluan sejak kebelakangan ini, dengan petugas JKM perlu menguruskan lebih 300 beg setiap hari.
“Pesakit dirawat di PKRC MAEPS berada di sini maksimum 10 hari, namun barangan keperluan yang dihantar itu seumpama untuk kegunaan sebulan. Ada menghantar makanan dan pakaian dalam bagasi yang terlalu besar.”
Beliau berkata, anggota JKM ditugaskan untuk menerima dan menghantar barang kepada pesakit yang sebelum ini digalas polis, ini secara tidak langsung mendedahkan petugas kerana terpaksa masuk ke zon kuning untuk penyerahan barang, namun itu tidak mematahkan semangat mereka, walaupun berisiko dan menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.
Untuk mengatasi kesesakan di pondok penyerahan serta risiko penularan, pengurusan PKRC MAEPS hanya membenarkan tiga jenis barang dihantar kepada pesakit, iaitu ubat-ubatan, susu dan pampers dengan waktu penghantaran 8 pagi hingga 3 petang sahaja, dan tidak hadir pada waktu rehat dari 1 tengah hari hingga 2 petang.
Bagaimanapun, atas budi bicara, katanya, penghantaran pakaian kepada pesakit yang sehelai sepinggang dibenarkan, iaitu pesakit dipindahkan dari mana-mana hospital dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), peralatan dan keperluan berdasarkan pertimbangan dari semasa ke semasa, contohnya untuk bancuh susu memerlukan botol susu dan botol air panas.
Sementara itu, orang ramai diminta mendapatkan informasi terkini setempat yang tepat dan sahih mengenai pengoperasian PKRC MAEPS 2.0, mendapatkan panduan kepada pesakit dan waris serta mendapatkan maklumat konsisten sebagai bahan rujukan.
Laman sesawang www.pkrcmaeps.gov.my yang diaktifkan 1 Julai lalu, memuat naik pelbagai maklumat berbentuk infografik bagi memudahkan orang awam membuat rujukan, jika mereka perlu dikuarantin di PKRC MAEPS 2.0 serta mengajukan soalan atau permasalahan yang mana maklum balas akan diberikan dalam 24 jam.