
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya akan memanggil Ahli Parlimen Batu Pahat itu untuk diambil keterangan bersama dua wanita, difahamkan adalah isteri dan anaknya, yang turut kelihatan dalam gambar itu, selain pemilik ladang berkenaan.
“Kita akan panggil mereka untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya ketika diminta mengulas isu pelanggaran SOP oleh Rashid dalam sidang media.
Mengenai perkembangan video tular berkumpul makan durian di sebuah kebun di daerah sama yang turut membabitkan Rashid, beliau berkata, kertas siasatan mengenainya sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara 14 Julai lalu.
Pada masa sama, katanya, kes video tular membabitkan sekumpulan individu makan durian yang dipercayai melibatkan petugas kesihatan di pusat pemberian vaksin di bandar raya ini juga telah dibuka kertas siasatan.