418 pembakaran terbuka dikesan bulan ini, kata JAS

418 pembakaran terbuka dikesan bulan ini, kata JAS

Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar berkata sebanyak 16 titik panas turut dikesan iaitu sembilan di Sabah, tiga di Pahang, dua di Selangor dan masing-masing satu di Perak serta Johor.

JAS berkata dalam keadaan cuaca kini, potensi berlakunya pembakaran terbuka di kawasan yang mudah dan sering terbakar adalah sangat tinggi seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan sebanyak 418 kes pembakaran terbuka pada bulan ini sehingga semalam dan bilangan itu dijangka terus meningkat jika keadaan cuaca panas dan kering berterusan sehingga pertengahan September depan.

Ketua Pengarahnya Norlin Jaafar berkata, peningkatan kes pembakaran terbuka ini disebabkan aktiviti pertanian sara diri penduduk tempatan.

Beliau berkata, sebanyak 16 titik panas turut dikesan iaitu sembilan di Sabah, tiga di Pahang, dua di Selangor dan masing-masing satu di Perak serta Johor.

Menurutnya, terdapat peningkatan bilangan titik panas di dalam negara dalam tempoh tiga bulan terakhir dengan 242 titik panas dikesan pada Julai (hingga semalam) berbanding 166 pada Jun lepas dan 113 pada Mei lepas.

Norlin berkata, dalam keadaan cuaca kini, potensi berlakunya pembakaran terbuka di kawasan yang mudah dan sering terbakar adalah sangat tinggi seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

“JAS juga akan meningkatkan aktiviti mencegah pembakaran terbuka dan penguatkuasaan ke atas kilang serta kenderaan motor bagi menangani pencemaran udara semasa cuaca panas dan kering ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Norlin berkata, pihak yang menyebabkan pembakaran terbuka boleh disabitkan hukuman mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dengan kompaun sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

Tambah beliau, sejak Jan hingga semalam sebanyak 358 kompaun, 72 notis arahan dan sembilan kertas siasatan dibuka bagi kesalahan pembakaran terbuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.