Tular gambar makan bersama keluarga, setiausaha sulit nafi Rashid Hasnon langgar SOP

Tular gambar makan bersama keluarga, setiausaha sulit nafi Rashid Hasnon langgar SOP

Mohd Zaihan Mohd Zainal berkata, ketika gambar itu dirakam, Rashid bersama isteri dan anak sedang makan sementara menunggu masa untuk sesi penyembelihan lembu korban di sebuah 'homestay'.

Mohd Zaihan Mohd Zainal berkata, jadual menyembelih korban pada 3 pagi menyebabkan Rashid Hasnon dan keluarga menempah ‘homestay’ berdekatan pusat sembelihan itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Setiausaha sulit kepada Mohd Rashid Hasnon hari ini menafikan bahawa timbalan speaker Dewan Rakyat itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 apabila dirakam sedang menikmati hidangan dengan beberapa orang di sebuah lokasi di Johor.

Mohd Zaihan Mohd Zainal dalam kenyataan berkata, kejadian itu berlaku hanya membabitkan Rashid, isteri dan anaknya di sebuah inap desa.

Zaihan berkata, ketika gambar itu dirakam Rashid bersama isteri dan anak sedang makan sementara menunggu masa untuk sesi penyembelihan lembu korban.

“Selain menyumbang lembu, YB (Mohd Rashid) juga mahu menyembelih (korban) dengan tangannya sendiri.

“Justeru, mengetahui jadual menyembelih lembu adalah pada jam 3 pagi maka beliau dan keluarga menempah ‘homestay’ berdekatan dengan pusat sembelihan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, majlis penyembelihan korban itu berlangsung di Pusat Penyembelihan Rengit yang mengambil masa selama 24 jam, dan Rashid melaksanakan penyembelihannya pada 3 pagi.

Difahamkan, lokasi itu juga berada dalam kawasan Parlimen diwakili Rashid dan dijalankan dengan pematuhan SOP ditetapkan.

Katanya, gambar yang tular itu diambil pada awal pagi, iaitu sebelum sesi penyembelihan dan Rashid sekeluarga menikmati “mentong” (makan lewat malam).

“Jadi, tidak timbul isu beliau melanggar SOP,” katanya.

Zaihan dalam pada itu mempersoalkan tindakan laman Facebook OPS Johor yang dikatakan memulakan dakwaan tersebut dan turut memetik nama Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, yang terlebih dahulu terbabit dengan isu pelanggaran SOP.

“Saya ingin mengulas laman Facebook OPS Johor yang mula menularkan cerita ini untuk bertanya sendiri kepada bos mereka, iaitu Khaled Nordin yang ditularkan terlebih dahulu melanggar SOP beberapa hari lalu,” katanya.

Sebelum ini, Rashid pernah mencetuskan rasa tidak puas hati orang ramai apabila menghadiri jamuan durian di Batu Pahat. Pada awalnya Ahli Parlimen Batu Pahat itu mendakwa gambar tersebut dirakam sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, dia kemudian meminta maaf dan mengakui hadir pada jamuan berkenaan dan berjanji memberikan kerjasama kepada polis yang menyiasat insiden itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.