Pembeli misteri guna helikopter beli ‘nasi ganja’ bergelar Datuk

Pembeli misteri guna helikopter beli ‘nasi ganja’ bergelar Datuk

Mohamed Nihmathullah Syed Mustafa hanya mempercayai tempahan itu 'serius' apabila menerima panggilan untuk menghantar 36 bungkus nasi kandar istimewa itu ke helikopter merah yang sudah mendarat di Padang Ipoh.

IPOH:
Pemilik gerai di sebalik tempahan 36 bungkus “nasi ganja” yang diterbangkan ke Kuala Lumpur menggunakan helikopter, masih terkejut dengan tempahan luar biasa itu yang diterimanya semalam.

Mohamed Nihmathullah Syed Mustafa, 57, hanya mempercayai tempahan itu “serius” hari ini apabila mendapat panggilan untuk menghantar 36 bungkus nasi kandar istimewa itu ke sebuah helikopter merah yang sudah mendarat di Padang Ipoh, di pusat bandar raya ini.

“Pada mulanya saya ketawa sekuat hati apabila menerima mesej bahawa sebuah helikopter akan sampai untuk mengambil tempahan makanan itu. Saya ingatkan ini tipu,” kata Nihmathullah.

“Tetapi apabila saya dapat panggilan untuk menghantar 36 bungkus itu ke padang berkenaan dan mendapati memang sebuah helikopter merah sedang menunggu, saya dan menantu terkejut.

Mohamed Nihmathullah Syed Mustafa.

“Apabila kami ke sana, seorang lelaki yang memakai topi dan pelitup muka, terus mengambil tempahan 36 bungkus nasi itu dan membayar kami RM360 sebelum menaiki helikopter itu untuk berlepas pulang”.

“Semua ini berlaku kurang lima minit. Apa yang kami tahu, orang yang membuat tempahan itu bergelar Datuk”.

Nihmathullah adalah pemilik gerai Nasi Kandar Alam Merah yang beroperasi di sebuah kedai kopi di Jalan Yang Kalsom sejak 1957.

Dalam keadaan normal, gerai itu menerima ramai pengunjung dari jauh dan dekat.

Ini kali pertama pelanggan menggunakan helikopter merentas negeri untuk membeli nasi kandarnya.

Nihmathullah bersyukur kerana menerima tempahan 36 bungkus nasip kandar itu yang banyak membantu perniagaan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini.

Beliau berkata, sejak setahun lalu, perniagaannya merudum sehingga 40%.

“Ada satu ketika, kami terpaksa tutup kedai. Sekarang pun saya cuma berniaga untuk membayar gaji tiga pembantu saya. Jadi, saya amat bersyukur masih mendapat pelanggan pada masa yang begitu mencabar ini,” katanya.

Nihmathullah berkata, nasi kandar itu diberi jolokan “nasi ganja” kerana ramai orang “ketagih” dengannya dan kerap ke gerainya untuk menjamu selera.

“Oleh kerana nama jolokan ‘nasi ganja’, Majlis Bandaraya Ipoh sudah beberapa kali melakukan pemeriksaan tetapi tidak mendapati adanya ganja dalam nasi kandar saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.