
Melalui Facebooknya hari ini, Najib memuat naik tangkap layar laporan berita mengenai kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, pada 5 Mac lalu, yang menyatakan keputusan untuk melaksanakan darurat adalah pertaruhan besar oleh Muhyiddin.
Menerusi hantaran itu, Najib membangkitkan persoalan kepada penyokong Muhyiddin sama ada pertaruhan yang diperkatakan itu boleh dikira sebagai satu kejayaan.
“Ini minggu terakhir darurat. Adakah pertaruhan besar bos kamu sudah berjaya?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi situasi kes Covid-19 selepas lebih enam bulan negara berada dalam keadaan darurat.
Berdasarkan jumlah dikongsikan katanya, jelas berlaku kenaikan jangkitan sehingga jumlah kumulatif kini sudah merekodkan sebanyak 951,884 kes di negara ini.
“Selepas 6 bulan 12 hari darurat (11 Jan-22 Julai) kes baharu daripada 2,232 kepada 13,034, jumlah kumulatif kes daripada 138,224 kepada 951,884, kes aktif daripada 28,554 kepada 142,051 dan jumlah kumulatif kematian daripada 555 kini kepada 7,574,” katanya.
Justeru, beliau dengan nada sinis memaklumkan rakyat sentiasa rela dan bersedia menjadi modal pertaruhan yang dibuat oleh pihak bertanggungjawab itu.
“Rakyat Malaysia sentiasa rela dan bersedia menjadi modal pertaruhan anda. Jadi, ‘next’ ‘korang’ nak ‘betting’ apa lagi?.”
Sebelum ini, Wan Saiful dilaporkan berkata, beliau yakin Muhyiddin akan berhati-hati kerana perdana menteri berjanji akan mengadakan pilihan raya secepat mungkin selepas darurat berakhir, sambil menambah, beliau sudah melakukan yang terbaik untuk negara.
Kata Wan Saiful, sekiranya berlaku salah guna kuasa atau kesilapan semasa darurat, rakyat “pasti akan menghukum PN” (Perikatan Nasional).
“Ada yang berpendapat perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah cukup untuk mengawal penularan Covid-19, tetapi hakikatnya ia tidak cukup dan lebih banyak kuasa diperlukan untuk memastikan kawalan yang berkesan dapat dilaksanakan.
“Saya pasti peruntukan itu jelas disokong oleh Kabinet dan semua pemain utama dalam struktur kerajaan, termasuk perkhidmatan awam,” katanya.