Tak balas WhatsApp? Perkara biasa…maaflah, jangan kecil hati, kata Ebit kepada Nadir

Tak balas WhatsApp? Perkara biasa…maaflah, jangan kecil hati, kata Ebit kepada Nadir

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu mendakwa pasukan Ebit Lew bersikap dingin terhadapnya ketika menyambut mereka di pintu masuk Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir.

Ebit Lew sekali lagi menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat kenyataan tidak benar atau berunsur fitnah terhadapnya.
PETALING JAYA:
Pendakwah bebas Ebit Lew berkata, tindakan pasukannya tidak membalas mesej Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri di aplikasi WhatsApp adalah perkara biasa dalam sebarang urusan termasuk perniagaan.

“Balas tak balas WhatsApp biasalah, kadang isteri bagi 20 mesej tetapi kita sempat balas satu. Kalau kami tak sempat balas, minta maaflah, jangan kecil hati,” katanya dalam sidang media maya.

Pemilik Elewsmart itu berkata, sebelum pasukannya ke Gaza untuk misi bantuan kemanusian, pihaknya bertanyakan proposal untuk masuk dan beberapa harga barangan di sana kepada lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Ketika minta proposal untuk masuk ke Gaza, kita bayangkan cara untuk ke sana tetapi bila dapat proposal daripada beliau (Nadir), kita hanya dapat sebut harga barangan yang mana dia maklumkan satu kotak makanan berharga 40 dolar, iaitu sekitar RM160.

“Tetapi ada NGO lain beri sebut harga lagi rendah, iaitu sekitar 20 dolar. Kalau berbisnes minta sebut harga itu biasa. Kalau marah ‘quotation’ dia tidak diterima atau tidak dibalas, ia bukan perkara wajar kerana saya ada minta ‘quotation’ banyak lagi,” katanya.

Sebelum ini, Nadir mendakwa pasukan Ebit bersikap dingin terhadapnya ketika menyambut mereka tiba di pintu masuk Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir.

Malah, beliau turut kesal dengan pasukan kemanusiaan Ebit yang tidak membalas mesej di WhatsApp berhubung sebut harga yang diminta pendakwah bebas itu kepadanya.

Pelbagai spekulasi timbul terhadap Ebit mengenai misi kemanusiaan di Gaza apabila penyanyi Caprice mendedahkan wujud sengketa antara mereka selepas Ebit didakwa meninggalkannya dalam misi itu.

Dalam sesi sembang di Instagram, Caprice kecewa dengan Ebit yang didakwanya membawa lari dokumen penting mereka untuk masuk ke Gaza.

Bagaimanapun, Ebit menafikan dakwaan itu dan menjelaskan tiada sebarang perbincangan mengenainya dibuat sebelum ini.

“Demi Allah, saya tidak pernah jumpa Caprice, atau Neelofa dan suaminya, Haris untuk berbincang mahu sama-sama ke Gaza. Saya hanya bawa dokumen untuk ke luar Malaysia. Dokumen apa yang saya bawa lari?

“Sebab itu jangan suruh wakil buat kerja, bila serahkan pada orang lain tuduh pula orang bawa lari dokumen,” katanya tanpa menjelaskan secara terperinci mengenai isu itu.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat kenyataan tidak benar atau berunsur fitnah terhadapnya.

“Sesiapa sahaja yang buat kenyataan tidak benar dan fitnah, saya akan hantar surat saman tetapi surat saman ini untuk profesional,” katanya mengakui sudah memberikan notis saman itu kepada beberapa individu yang menabur fitnah terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.