
Ketua Polis Daerah Padang Terap Mulkiaman Manzar berkata, rangka dipercayai milik Muhamad Shahril Hamid, 30, ditemui oleh orang awam di dalam sungai berkenaan selepas 26 hari dilaporkan lemas.
“Polis menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 3.35 petang yang memaklumkan tentang penemuan rangka manusia di dalam Sungai Kuala Pai.
“Rangka berkenaan ditemui lebih kurang 100m dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh pada 27 Jun lalu. Operasi mengeluarkan rangka itu telah dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, rangka berkenaan telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.