Ebit sudah beri keterangan, akan panggil individu lain jika ada keperluan, kata polis

Ebit sudah beri keterangan, akan panggil individu lain jika ada keperluan, kata polis

Ebit Lew hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 10.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah, berkata setakat ini hanya Ebit Lew yang dipanggil untuk memberi keterangan.
PETALING JAYA:
Pendakwah bebas Ebit Lew sudah memberi keterangan kepada polis untuk membantu siasatan berhubung laporan dibuatnya semalam.

Ebit hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 10.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah, berkata setakat ini hanya Ebit yang dipanggil untuk memberi keterangan.

“Jika ada keperluan kita akan panggil individu yang berkaitan.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Semalam, pendakwah itu membuat laporan di IPD Dang Wangi berhubung tuduhan dilemparkan di media sosial terhadapnya termasuk daripada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri dan penyanyi rap, Caprice berkaitan isu misi kemanusiaan di Gaza, Palestin.

Katanya, laporan polis itu dibuat kerana tidak mahu isu berkenaan terus dipanjangkan.

Hari ini, Ebit dalam sidang media maya memulangkan paku buah keras kepada Nadir dengan mempersoalkan ke mana sumbangan RM20 juta diberikan rakyat kepada penduduk Gaza menerusi Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

Beliau turut meminta Nadir mengemukakan perbelanjaan wang sumbangan itu kerana membabitkan jumlah sangat besar dan menimbulkan persoalan umum.

Selain itu, Ebit turut menafikan membawa lari dokumen penting untuk masuk ke Gaza, yang didakwa Caprice.

Beliau menjelaskan tiada sebarang perbincangan mengenainya dibuat sebelum ini.

“Demi Allah, saya tidak pernah jumpa Caprice, atau Neelofa dan suaminya, Haris untuk berbincang mahu sama-sama ke Gaza. Saya hanya bawa dokumen untuk ke luar Malaysia. Dokumen apa yang saya bawa lari?

“Sebab itu jangan suruh wakil buat kerja, bila serahkan pada orang lain tuduh pula orang bawa lari dokumen,” katanya tanpa menjelaskan secara terperinci mengenai isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.