49 direman langgar SOP solat Aidiladha di tepi jalan

49 direman langgar SOP solat Aidiladha di tepi jalan

Semua 48 warga asing berumur 20 hingga 43 tahun itu direman empat hari, manakala seorang warga tempatan yang berusia 64 tahun direman tiga hari.

Sebahagian daripada 49 individu yang hadir di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini untuk permohonan perintah reman bagi membantu siasatan pelanggaran SOP dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan terbuka di Taman Pelangi, Juru, semalam. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman ke atas 48 warga asing dan seorang warga emas tempatan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana mengadakan solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi, Juru semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Hasliza Razak, selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan kesemua suspek terbabit.

Semua 48 warga asing berumur 20 hingga 43 tahun itu direman empat hari, manakala warga tempatan yang berusia 64 tahun direman tiga hari, bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya.

Terdahulu, semua suspek tiba di Mahkamah Majistret pada 10.10 pagi dengan berbaju lokap polis.

Semalam, video sekumpulan lelaki di kawasan perumahan berkenaan sedang menunaikan solat di kawasan tempat letak kereta sehingga ke tepi jalan raya bermula 8.30 hingga 9 pagi tular di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin turut memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap individu dan penganjur yang menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan terbuka di Seberang Perai Tengah kerana melanggar SOP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.