Sembunyi dalam but kereta, 3 warga asing ditahan rentas negeri cari kerja

Sembunyi dalam but kereta, 3 warga asing ditahan rentas negeri cari kerja

Ketiga-tiga warganegara Indonesia itu bekerja sebagai tukang kebun dan tiada dokumen perjalanan diri sah.

Pemandu kereta sewa yang ditahan di sekatan jalan raya itu, dibayar RM300 untuk membawa tiga lelaki Indonesia dari Sabak Bernam ke Batu Gajah untuk mencari kerja sebagai tukang kebun.
IPOH:
Tindakan polis menahan pemandu kereta sewa yang dalam keadaan mencurigakan membawa kepada penemuan tiga warga asing bersembunyi dalam but kereta itu di sekatan jalan raya (SJR) di KM30 Jalan Feri, Hutan Melintang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri berkata pemandu kereta sewa jenis Perodua Bezza berusia 36 tahun itu diarahkan berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan kira-kira 6 pagi tadi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga warga Indonesia yang juga tukang kebun berusia 18 hingga 36 tahun dalam keadaan berhimpit di dalam bonet belakang kenderaan.

“Semua tangkapan juga didapati tidak mempunyai sebarang dokumen rentas negeri yang sah, manakala ketiga-tiga warga Indonesia itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri sah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu itu dipercayai menjadi penghantar semua lelaki Indonesia berkenaan ke Batu Gajah dari Sabak Bernam, Selangor dengan bayaran seorang RM100 untuk mencari kerja sebagai tukang kebun.

Katanya, pemandu itu direman empat hari, manakala tiga tukang kebun berkenaan ditahan 14 hari kerana tiada dokumen perjalanan sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Sek 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.