Polis silap, saya buat 8 laporan polis, kata mangsa keganasan rumah tangga

Polis silap, saya buat 8 laporan polis, kata mangsa keganasan rumah tangga

Wanita yang mendakwa diserang seorang saudara di Sungai Petani selama beberapa tahun, berkata polis bertindak perlahan terhadap laporannya.

Lebam pada badan S Yoshita yang didakwanya akibat dipukul seorang saudara.
PETALING JAYA:
Seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga membidas polis Kedah menafikan beliau membuat lapan laporan terhadap seorang saudara dan menangguhkan tindakan ke atas lelaki itu.

S Yoshita menyifatkan penafian polis mengenai lapan laporan dibuatnya sebagai “tidak sensitif dan mengejut”, serta beliau mempunyai bukti laporan terbabit.

Katanya, beliau tidak dihubungi atau dimaklumkan perkembangan yang dicapai polis daerah Kuala Muda, selain tidak ditanya jika mempunyai bukti keganasan itu, seperti gambar, pita tidak disunting atau rakaman lain.

Laporan polis pertama dibuatnya 19 Feb tahun ini, disusuli dua lagi laporan pada 12 dan 15 Mac lalu.

Selepas itu, beliau mendakwa membuat laporan pada 4, 18 dan 23 April, 24 Mei serta 11 Jun lalu.

Yoshita mendakwa polis mempunyai laporan perubatan daripada serangan pada 3 April lalu.

“Pada 29 April, saya diminta hadir sekali lagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda. Mereka mengambil gambar kecederaan dan parut saya selepas satu lagi kenyataan dirakamkan. Adakah CPO (Ketua Polis) Kedah menafikan saya adalah mangsa keganasan rumah tangga?” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Kamarul Zaman Mamat hari ini menafikan kenyataan Yoshita yang dilaporkan Malaysia Gazette mengenai lapan laporan polis berhubung keganasan dihadapinya.

Kamarul Zaman dalam kenyataan berkata, satu laporan dibuat pada 1 April.

“Mangsa datang ke IPD Kuala Muda dan memohon perintah perlindungan interim,” katanya sambil menambah siasatan dimulakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana keganasan rumah tangga.

“Dua tangkapan dibuat pada 5 Mei. Siasatan kini selesai dan kes itu dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Jacob George berkata, Yoshita meminta bantuan daripada persatuan itu seminggu selepas 4 April lalu.

“Beliau membuat lapan laporan polis terhadap seorang lelaki dan satu lagi laporan terhadap beradiknya yang tinggal di Selangor pada 23 April lalu,” katanya sambil menambah semuanya sembilan laporan sudah dibuat.

Yoshita mendakwa beliau ditendang, dicekik, ditampar, diludah dan didera secara lisan oleh saudara itu serta seorang lagi individu di Sungai Petani, Kedah. Beliau akhirnya datang ke Selangor April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.