Wartawan veteran meninggal dunia akibat Covid-19, keluarga turut dijangkiti

Wartawan veteran meninggal dunia akibat Covid-19, keluarga turut dijangkiti

Difahamkan seluruh keluarga Ahmad Kamil disahkan positif Covid-19 dan dikuarantin sejak 6 Julai lalu.

Ahmad Kamil Mohamed Tahir, 60, meninggal dunia akibat Covid-19. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas pengarang Bernama, Ahmad Kamil Mohamed Tahir meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Putrajaya, 2.30 petang tadi.

Difahamkan seluruh keluarga Ahmad Kamil disahkan positif wabak itu dan dikuarantin sejak 6 Julai lalu.

Menantunya, Mohd Noor Firdaus Mohd Azil berkata, Ahmad Kamil, 60, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 dan mempunyai komorbiditi.

“Allahyarham dimasukkan ke hospital akibat jangkitan Covid-19 sejak 6 Julai lepas dan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 8 Julai,” katanya menurut laporan Bernama.

Firdaus berkata, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini.

Ahmad Kamil meninggalkan seorang anak perempuan, Nurmacella Shanaz dan dua anak lelaki, iaitu Ahmad Sadeqh dan Ahmad Redha Aidid.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet Bernama pada 1 Ogos 1982 dan pernah menyandang beberapa jawatan termasuk menjalankan tugas Ketua Biro Negeri Sembilan pada 2006, penyunting Meja Berita Am, Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) pada 2007 dan timbalan ketua penyunting meja Bahasa Melayu, PBDN pada 2018.

Ahmad Kamil juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Luar Bandar dari 2003 hingga 2005 dan menggalas jawatan Timbalan Ketua Penyunting di Bernama.com sebelum bersara wajib pada 4 Jan lepas.

Ketua Pengarang Bernama, Abdul Rahman Ahmad, menyifatkan Ahmad Kamil sebagai sahabat yang sentiasa ceria, peramah dan rajin.

“Beliau antara yang terserlah dalam kumpulan kami pada 1982. Beliau antara pertama yang menjadi ketua biro dalam kalangan kumpulan kami dan sentiasa menunjukkan prestasi yang baik sepanjang perkhidmatannya,” katanya.

Abdul Rahman turut berkata, beliau amat mengenali keluarganya termasuk isterinya Misnah Umar, iaitu bekas wartawan Utusan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.