Gugur KPMG dari syarikat kepentingan kerajaan, kata Pua

Gugur KPMG dari syarikat kepentingan kerajaan, kata Pua

Ia susulan keputusan kerajaan menyaman firma audit itu atas peranannya dalam skandal 1MDB.

PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan perlu menggugurkan KPMG Malaysia sebagai juruaudit bagi syarikat yang mana Putrajaya mempunyai kawalan langsung sebagai pemegang taruh susulan keputusan kerajaan menyaman firma audit itu, kata Ahli Parlimen Damansara Tony Pua.

Katanya, KPMG Malaysia juga perlu dikecualikan daripada mengambil bahagian dalam tender kerajaan sehingga kes mahkamah itu selesai.

“Kegagalan juruaudit untuk mengamalkan profesionalisme dalam tugas mereka untuk melindungi pembayar cukai adalah perkara sangat serius,” kata Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP dalam kenyataan.

Ini patut dijadikan contoh supaya tiada juruaudit badan kerajaan lain akan melakukan perkara sama, kata Pua merujuk kepada penglibatan firma itu dalam skandal RM50 bilion membabitkan 1MDB.

Awal bulan ini, kerajaan dan 1MDB dilapor memfailkan tuntutan berjumlah USD5.64 billion (RM23.63 billion) terhadap 44 rakan kongsi KPMG Malaysia atas dakwaan kecuaian dan pelanggaran kontrak dalam audit penyata kewangan bermula 2010 hingga 2012.

Daripada jumlah itu, USD3.197 bilion disalah guna pada 2010, 2011 dan 2012 ketika KPMG menjadi juruaudit bagi 1MDB.

Plaintif menuntut kerugian atas pelanggaran yang dipercayai dilakukan oleh rakan kongsi terbabit dalam peranan mereka sebagai juruaudit 1MDB.

Plaintif berkata, KPMG juga gagal menjelaskan perkara berkaitan percanggahan dalam perjanjian usahasama 1MDB dengan PetroSaudi International dan tidak ada penyelewengan di bawah arahan Najib Razak itu dilaporkan oleh KPMG ketika itu.

Kes itu akan disebut pada 6 Ogos di Mahkamah Tinggi.

Pua menyokong penuh saman kerajaan terhadap KPMG atas peranannya dalam skandal 1MDB, malah beliau mempersoalkan kelewatan berbulan-bulan dalam mengambil tindakan undang-undang itu.

“Kerajaan sudah lama berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan KPMG dan jelas bahawa juruaudit dengan jenama ‘Top 4’ di peringkat global itu tidak bersedia memenuhi tuntutan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.