2 lagi PPV industri dilulus untuk sektor pengangkutan

2 lagi PPV industri dilulus untuk sektor pengangkutan

Ia membabitkan PPVIN Stesen LRT Putra Heights dan Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan.

Wee Ka Siong berkata, PPVIN bagi sektor pengangkutan darat akan dikelolakan oleh Prasarana.
PETALING JAYA:
Dua lagi Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) diluluskan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi sektor pengangkutan darat yang akan dikelolakan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, dua PPVIN merupakan pemilik aset dan operator LRT, KL Monorel dan juga perkhidmatan Rapid Bus.

“Dua aset Prasarana, iaitu Stesen LRT Putra Heights dan Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan akan dijadikan fasiliti PPVIN sebagai menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“PPVIN di Stesen LRT Putra Heights, yang merupakan stesen integrasi Laluan LRT Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, mula dibuka pada 19 Julai 2021, manakala PPVIN di Kompleks Rapid Bus Sdn Bhd di Cheras akan mula beroperasi mulai 21 Julai ini,” katanya dalam kenyataan.

Wee berkata, bilangan penerima vaksin yang terlibat di PPVIN Putra Heights adalah seramai 2,598 orang yang merangkumi kakitangan Prasarana khususnya daripada perkhidmatan rel dan juga kakitangan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Katanya, bilangan penerima vaksin yang terlibat di Kompleks Rapid Bas Cheras Selatan pula adalah seramai 2,914 orang yang kebanyakannya terdiri daripada kakitangan operasi perkhidmatan bas.

“Selain daripada menyediakan pusat PPVIN, pihak Prasarana juga turut menyediakan kakitangannya sendiri untuk bertugas sebagai sukarelawan di kedua-dua pusat berkenaan bagi membantu kerja-kerja kawalan pergerakan penerima vaksin, logistik dan pendaftaran.

“Pembukaan PPVIN ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memperluaskan pemberian vaksin kepada sektor pengangkutan yang dikategorikan antara salah satu perkhidmatan perlu (essential services) bagi memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas dan pada masa yang sama memastikan kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Wee berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga mengemukakan sebanyak 48,973 senarai nama daripada kategori pemandu teksi/ e-panggilan dan 69,458 penunggang p-panggilan bagi tujuan keutamaan vaksinasi.

Katanya, berdasarkan kepada data yang diterima setakat 17 Julai lalu, sebanyak 56% pemandu teksi/e-panggilan telah menerima vaksin/ janji mereka dan penunggang p-hailing sebanyak 49%.

“MOT juga sedang berusaha mendapatkan kelulusan bagi pelaksanaan PPVIN sektor oengangkutan baharu secara bersasar di negeri Johor, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Perak dan Selangor, serta permohonan tambahan di Pelabuhan Klang yang menjurus kepada pelaut, pekerja pelabuhan dan pekerja sektor logistik di kawasan sekitar.

“Inisitatif ini dijangka memanfaatkan lebih daripada 54 ribu pekerja sektor pengangkutan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.