TH beri jaminan wang pendeposit selamat, hak mutlak operasi Haji kekal bersama TH

TH beri jaminan wang pendeposit selamat, hak mutlak operasi Haji kekal bersama TH

Sejak penubuhannya pada 1963, TH berkembang dari jumlah deposit hanya kira-kira RM46,000 kepada hampir RM82 bilion pada hari ini.

TH berkembang dari jumlah deposit hanya kira-kira RM46,000 kepada hampir RM82 bilion pada hari ini.
PETALING JAYA:
Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan bahawa sebarang usaha penambahbaikan pengurusan dan operasi Lembaga itu tidak akan mengganggu urusan harian 8.3 juta pendepositnya.

Dalam satu kenyataan, TH berkata cadangan penambahbaikan yang merangkumi kajian oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Bank Negara (BNM) atau Suruhanjaya Siasatan Diraja, mengesyorkan hak mutlak pengurusan dan operasi Haji terus kekal bersama TH serta jaminan kerajaan terhadap deposit di TH di bawah seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995 terus kekal untuk kepentingan pendeposit.

Selain itu, penglibatan TH dalam sektor ekonomi berdasarkan tadbir urus, pengurusan dan operasi yang utuh juga dijamin dan pada masa sama TH akan terus membuat penambahbaikan dari segi tadbir urus, pengurusan, operasi, dan pelaburan untuk kepentingan pendeposit.

“TH terus kekal relevan melalui usaha dan inisiatif ini dan akan terlibat dalam kajian Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan BNM demi kepentingan pendeposit dan TH sendiri,” katanya kenyataan itu..

TH berkata sejak penubuhannya pada 1963, ia berkembang dari jumlah deposit hanya kira-kira RM46,000 kepada hampir RM82 bilion pada hari ini.

“Ini adalah paras tertinggi dalam sejarah penubuhannya lebih 58 tahun lalu dan menggambarkan keyakinan dan kepercayaan rakyat dan pendeposit terhadap TH.

“Ia juga menunjukkan TH berada pada landasan yang baik dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan stabil, di mana lebih 80% transaksi kewangan dilakukan secara dalam talian,” katanya.

TH berkata, atas tanggungjawab menambah baik dan mengukuhkan tadbir urus operasi, ia akan melibatkan cadangan dasar model baharu operasi TH dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Jelas kenyataan itu lagi, cadangan model baharu operasi TH tersebut akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, BNM dan TH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.