
Ketua Pasukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi Malaysia, Masahiro Nozaki, berkata prestasi teguh ini sebahagian mencerminkan dasar kukuh ekonomi negara dengan pihak berkuasa mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat.
Menurut IMF, perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) pada Oktober 2025 membantu mengurangkan ketidakpastian terhadap perniagaan dan pengguna di Malaysia.
Namun, landskap global telah berubah dengan ketidakpastian global menjadi satu normal baharu, pembinaan semula penampan makroekonomi Malaysia kekal menjadi perkara kritikal.
“Daya tahan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam tempoh terdekat ini, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.
“IMF mengunjurkan pertumbuhan akan perlahan sedikit daripada 4.6% pada 2025 kepada 4.3% pada 2026, mencerminkan kesan tarif tinggi AS ke atas Malaysia,” katanya menurut kenyataan memetik Bernama.
Menurutnya, pertumbuhan berdepan risiko negatif berpunca terutamanya daripada faktor luaran.
“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, kelembapan permintaan luaran boleh menjejaskan Malaysia sekiranya berlaku peningkatan langkah-langkah perlindungan, turun naik pasaran kewangan global dan potensi penurunan ledakan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya.
Bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan berlakunya peningkatan positif, termasuk kejayaan dalam rundingan perdagangan global, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada dijangkakan dan pelaksanaan pembaharuan struktur yang lebih pantas.
“Komitmen Malaysia terhadap pengurusan fiskal yang berhemat dapat dilihat melalui kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang penting pada 2023 dan pengurangan defisit fiskal yang stabil sejak 2022,” kata Nozaki.
Beliau berkata IMF menyambut baik rancangan pihak berkuasa mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 3.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 dan kepada 3% menjelang 2028.
Menurutnya, usaha berterusan membina semula penampan fiskal melalui langkah-langkah perbelanjaan dan hasil yang mampan dan berkualiti tinggi kekal penting memandangkan hutang kerajaan persekutuan yang berada pada 64.6% daripada KDNK pada akhir 2024, masih melebihi paras prapandemik.
“Kami mengalu-alukan usaha berterusan untuk memperkukuh ketelusan fiskal dan kecekapan perbelanjaan, termasuk kelulusan Akta Perolehan Kerajaan 2025.
“Inflasi, dengan purata 1.4% sepanjang Januari-Oktober 2025, diunjurkan kekal stabil dan secara beransur-ansur kembali kepada purata jangka panjangnya iaitu 2%.”
Pelaksanaan pantas pembaharuan struktur di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026-30 adalah kunci bagi pertumbuhan inklusif yang didorong permintaan domestik.
Pembaharuan pasaran buruh yang bertujuan untuk meningkatkan gaji sektor swasta, mengurangkan kekurangan pekerjaan berkaitan kemahiran dan meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita dapat membantu mencapai matlamat pembangunan yang bercita-cita tinggi di bawah RMK-13.