Maybank sumbang RM14 juta naik taraf kemudahan di HTAR, HKL tangani Covid-19

Maybank sumbang RM14 juta naik taraf kemudahan di HTAR, HKL tangani Covid-19

Pengerusi Maybank, Zamzamzairani Mohd Isa berkata program ini akan dijalankan dalam tempoh 20 minggu melalui pendekatan tiga serampang.

Sumbangan akan disalurkan melalui Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital Covid-19 MERCY Malaysia yang menyediakan peralatan dan tenaga kerja kritikal di HKL dan HTAR, bermula akhir Julai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Maybank menyumbangkan RM14 juta kepada dua hospital awam sebagai usaha segera meningkatkan kapasiti dan kemudahan sistem penjagaan kesihatan dalam menghadapi lonjakan pesakit Covid-19.

Sumbangan ini akan disalurkan melalui Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital Covid-19 MERCY Malaysia yang menyediakan peralatan dan tenaga kerja kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), bermula akhir Julai.

Pengerusi Maybank, Zamzamzairani Mohd Isa berkata program ini akan dijalankan dalam tempoh 20 minggu melalui pendekatan tiga serampang, iaitu melalui penyediaan peralatan dan bekalan kesihatan; mobilisasi sumber manusia; dan latihan teknikal termasuk sokongan kesihatan mental dan psikososial.

Zamzamzairani Mohd Isa.

“Ini akan meningkatkan ruang kapasiti katil Unit Rawatan Rapi(ICU) untuk pesakit Covid-19 Kategori 4 dan 5 iaitu sebanyak enam unit di HTAR dan 10 unit di HKL, serta tambahan 200 katil pesakit Covid-19 masing-masing di kedua-dua hospital ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata seramai 40 pekerja kesihatan dan kakitangan sokongan kritikal akan disalurkan ke HTAR dan 50 ke HKL, untuk berkhidmat di wad Covid-19 dan wad biasa.

“Ia bagi membolehkan jabatan pesakit luar hospital dibuka semula, seterusnya membantu semua pesakit dirawat,” katanya.

Zamzamzairani berkata, inisiatif ini juga akan menyaksikan lebih ramai kakitangan perubatan terlatih menangani kes Covid-19 secara berkesan.

Selain itu, katanya, sumbangan itu juga bagi menyediakan pelbagai peralatan perubatan ICU dan bukan ICU yang sangat diperlukan, termasuk jabatan kecemasan di kedua-dua hospital.

“Harapan kami melalui kerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan, MERCY Malaysia dan seluruh rakyat negara ini, kesinambungan sistem kesihatan negara akan terjamin, dan hospital kita akan dilengkapi dengan kemudahan lebih baik dan bersedia menghadapi bukan sahaja pandemik Covid-19, tetapi juga pandemik yang tidak dijangka pada masa depan,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.