Masuk hutan simpan tanpa permit, ADUN Teratai ditahan

Masuk hutan simpan tanpa permit, ADUN Teratai ditahan

Bryan Lai Wai Chong antara 29 individu yang ditahan pagi tadi kerana memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Lenjang, Lipis.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan untuk saringan kesihatan manakala 11 kenderaan pikap disita. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong antara 29 individu yang ditahan pagi tadi kerana memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis tanpa permit.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata kumpulan dari Selangor dan Kuala Lumpur itu ditahan JPNP dan polis di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Sungai Koyan, Lipis jam 8 pagi.

“Turut ditahan bersama kumpulan ini adalah ADUN Teratai yang beralamat di Bandar Mahkota Cheras, Selangor, manakala 11 pikap turut disita.

“Siasatan awal mendapati, kumpulan ini memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis sekitar jam 11 pagi semalam, tanpa kebenaran dan dimaklumkan untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Lenjang, Lipis,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan untuk saringan kesihatan.

Katanya, siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara, masing-masing bagi keperluan permit memasuki hutan simpan serta kuasa menangkap, menyita dan menyiasat oleh pegawai perhutanan.

“Setakat ini, siasatan masih lagi diteruskan bersama pihak polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.