Benarkan sesi perbahasan Parlimen pada 26 Julai, desak PH

Benarkan sesi perbahasan Parlimen pada 26 Julai, desak PH

Ia bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab mereka membela hak rakyat, selari dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong.

Pandangan Yang di-Pertuan Agong senada dengan aspirasi rakyat yang mahu kemelut pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara ketika ini berakhir.
PETALING JAYA:
Majlis Presiden Pakatan Harapan sekali lagi mengulangi gesaannya supaya membenarkan sesi perbahasan dalam sidang Parlimen bermula 26 Julai ini.

Dalam satu kenyataan, PH berkata ia bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab mereka membela hak rakyat, selari dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong.

“Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun menzahirkan titah pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya Ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.

“Pandangan Agong senada dengan aspirasi rakyat yang mahu kemelut wabak pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara ketika ini berakhir,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mereka menjelaskan, usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak akan dibangkitkan dalam sidang berkenaan, melainkan tumpuan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis Covid-19.

“Malangnya kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 15 Julai menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos hanyalah satu persidangan khas bagi mendengar penerangan atau ceramah Menteri-Menteri tanpa sebarang perbahasan oleh Ahli Parlimen.

“Majlis Presiden PH memberi amaran keras kepada kerajaan Perikatan Nasional agar hentikan pencabulan institusi demokrasi negara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, persidangan lima hari berkenaan dipenuhi dengan sesi taklimat daripada Jemaah Menteri semata-mata tanpa memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk berbahas.

Tindakan itu menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembangkang termasuk Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad yang tidak menolak kemungkinan untuk memboikot persidangan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.