
“Saya dan keluarga masih terkejut dan sedih dengan (kejadian) MH17,” katanya kepada FMT.
“Perasaan kami masih sama seperti pada hari kejadian.
“Tiada apa yang berubah. Kami masih berusaha yang terbaik untuk meneruskan kehidupan sebagai keluarga.”
Husna, 31, adalah anak sulung dalam keluarga, tetapi katanya, beliau selalu menganggap Hakimi sebagai “nakhoda” keluarganya.
“Saya akan selalu mengingatinya sebagai adik yang baik. Walaupun sebagai anak ketiga dalam keluarga, beliau sentiasa menjadi ‘abang’ kepada kami semua.
“Beliau menguruskan segalanya untuk ibu bapa saya. Kami sangat merinduinya,” kata Husna.
Husna mempunyai tiga adik beradik yang lain.

Katanya, beliau merasa tenang mengetahui anak Hakimi, Abderrahman yang kehilangan bapanya ketika berusia tujuh bulan, selamat dengan keluarganya.
“Abderrahman akan mencecah usia lapan tahun, tahun ini. Dia budak yang sangat pandai dan cemerlang di sekolah,” katanya.
“Dia selalu bertanya tentang ayahnya dan bagaimana sifatnya ketika muda. Dia akan bertanya soalan mudah seperti makanan kegemaran ayahnya. Rasa ingin tahunya sangat bermakna buat kami.”
Husna berkata, ibu Abderrahman, Asmaa Aljuned, akan selalu mengingatkannya tentang bapanya.
Abderrahman sangat mirip bapanya dari segi tutur kata dan senyumannya, kata Husna, sambil menambah, kanak-kanak itu juga menggemari roti canai dan nasi lemak, seperti bapanya.
Apabila ditanya satu kenangan tentang Hakimi yang akan selalu dihargainya, sambil menahan air mata, Husna berkata, ada terlalu banyak.
“Saya tak dapat pilih satu. Apa yang saya boleh katakan, Hakimi adalah anak yang bertanggungjawab ke atas keluarganya. Beliau sangat menyayangi anak dan isterinya.
“Setiap kali cuti, beliau akan menjaga Abderrahman di rumah,” kata Husna.
Pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan 283 penumpang dan 15 kru kapal.
Mangsa terdiri daripada rakyat Malaysia, Belanda, Australia, Indonesia, Britain, Belgium, Jerman, Filipina, Kanada dan New Zealand.
Sebuah penyiasatan antarabangsa mendapati peluru berpandu BUK milik tentera Rusia yang berpangkalan di bandar Kursk menjadi punca kejadian berkenaan.
Bulan lalu, hakim-hakim di Belanda dalam perbicaraan membabitkan tiga warga Rusia dan seorang lelaki dari Ukraine yang dituduh bertanggungjawab atas kejadian itu mula mendengar keterangan di dewan mahkamah yang dikawal ketat bersebelahan lapangan terbang Schipol di Amsterdam.