
Beliau berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba telah mengatakan sistem kontrak akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu susulan gerakan ‘Code Black’ oleh Persatuan Perubatan Malaysia bagi mengetengahkan masalah dihadapi doktor junior.
Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan sehingga hari ini, katanya.
“Bagaimana menteri boleh menggesa supaya mereka bersabar jika tiada penjelasan mengenai apa yang dibincangkan dan diputuskan, bagi memberikan hala tuju untuk pekerja penjagaan kesihatan kontrak ini?” soalnya dalam kenyataan.
Yii berkata, tidak patut ada alasan lagi untuk isu ini terus ditangguhkan tanpa sebarang penyelesaian.
Tambahnya, Jemaah Menteri boleh membuat beberapa keputusan dasar dengan segera, termasuk membenarkan doktor junior mengambil pengajian sarjana atau pengkhususan aliran tertentu perubatan, selain memberikan manfaat serupa dengan rakan sejawat mereka yang bekerja tetap.
“Keputusan dasar seperti itu tidak memerlukan komitmen kewangan besar dan boleh menjadi langkah awal dalam menyelesaikan isu ini secara komprehensif.”
Doktor junior menggesa pindaan dilakukan terhadap sistem kontrak disebabkan kekurangan dari segi jaminan kerja dan peluang kenaikan pangkat.
Tujuan gerakan Code Black adalah untuk meminta solidariti orang ramai bersama doktor kontrak dengan mengubah gambar profil di media sosial kepada hitam putih selain berpakaian hitam ke tempat kerja.