Saman penamatan kerja kontraktor KVDT2 akan dibicara penuh

Saman penamatan kerja kontraktor KVDT2 akan dibicara penuh

Mahkamah Rayuan menolak cubaan kerajaan untuk membatalkan perintah semakan kehakiman.

Dhaya Maju LTAT memohon deklarasi mahkamah bahawa keputusan Menteri Pengangkutan membatalkan kontrak KVDT2 mereka tidak sah dan terbatal.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengarahkan saman yang difailkan kontraktor projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) terhadap kerajaan diteruskan dengan perbicaraan penuh di mahkamah rendah.

Hakim Lee Swee Seng, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak rayuan kerajaan untuk membatalkan perintah membenarkan kontraktor Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) menamatkan kontrak mereka untuk mengendalikan projek itu.

“Responden (Dhaya Maju LTAT) memenuhi ujian ambang untuk memulakan semakan kehakiman atas alasan mereka terjejas teruk dengan keputusan kerajaan dalam melaksanakan fungsi awamnya.

“Penamatan kontrak pembinaan biasanya adalah hal undang-undang persendirian tetapi dalam kes ini terdapat unsur awam kerana kerajaan menyebut penamatan itu dilakukan atas alasan ‘kepentingan negara’,” katanya ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah.

Dua lagi hakim dalam panel itu adalah S Nantha Balan dan Mohd Sofian Abd Razak.

Lee berkata, tiada alasan untuk campur tangan dalam kuasa hakim Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya membenarkan penangguhan terhadap keputusan kerajaan mengadakan tender awam bagi KVDT2 sementara menunggu perbicaraan Dhaya Maju.

Mahkamah mengarahkan kerajaan membayar kos sebanyak RM15,000.

Syarikat itu diwakili peguam Cyrus Das dan Lim Chee Wee, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Nor Atikah Zainal Abidin mewakili kerajaan.

Syarikat itu menuntut deklarasi mahkamah bahawa keputusan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong membatalkan kontrak KVDT2 serta membuka semula tender sebagai tidak sah dan terbatal.

Dhaya Maju LTAT juga mahu mahkamah membatalkan keputusan itu dan memaksa kerajaan melaksanakan semua dokumen serta perjanjian.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Tinggi pada 5 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.