
Beliau berkata, setakat ini keadaan kanak-kanak itu sihat dan ceria sepanjang berada dalam pemantauan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pegawai kesihatan.
“Adik Bella adalah anak yang pemalu dan sangat lemah lembut. Suka peluk penjaga mereka yang dipanggil dengan gelaran ’emak’.
“Melihat sendiri kesan luka lama dan baharu membuatkan hati saya sangat sakit dan remuk,” katanya dalam catatan Facebook.
Zailah turut memaklumkan, pihaknya sudah menghubungi Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan, yang bertanggungjawab mengurus kes kanak-kanak malang itu.
Katanya, beliau memberi jaminan pihak yang terbabit melakukan penderaan itu tidak akan terlepas.
“Saya telah berhubung dengan ACP Puan Siti Kamsiah, D11 PDRM yang mengurus kes ini secara langsung dan bertanyakan perkembangan terkini siasatan.
“Beliau menyatakan bahawa tidak akan ada pihak yang akan terlepas dalam kes ini, walau apa juga ‘kabel’ yang akan digunakan. Saya juga menyatakan keyakinan penuh terhadap komitmen PDRM dan badan keadilan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak perempuan penghidap sindrom down didera di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak milik sebuah badan bukan kerajaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Saiful Annuar Yusoff berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan dua lagi kanak-kanak berusia dua tahun adalah OKU sindrom down dan tinggal bersama empat kanak-kanak lain di pusat jagaan itu.
Katanya, semua mereka tinggal di unit yang dijaga oleh seorang perempuan Melayu berumur 28 tahun sejak 14 Julai 2020.
Beliau berkata, mangsa yang juga didapati positif Covid-19 mempunyai kesan melecur di dada, tangan, leher dan peha serta kesan luka lain dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.