Polis lepas 2 tembakan ke arah kereta dipandu pemandu ‘lalok’

Polis lepas 2 tembakan ke arah kereta dipandu pemandu ‘lalok’

Suspek yang panik apabila polis cuba menahan kenderaannya kemudian cuba merempuh anggota bertugas.

Suspek berusia 57 tahun berjaya diberkas polis setelah berlaku pergelutan.
KOTA KINABALU:
Polis melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol selepas dia cuba merempuh mereka di Beaufort, barat daya Sabah, semalam.

Sebelum kejadian, polis cuba menahan kenderaan berkenaan untuk diperiksa, namun suspek berusia 57 tahun itu mengundurkan keretanya secara agresif dan cuba merempuh anggota polis.

Ketua Polis Beaufort Yusoff Zaki Yaacob berkata, polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kereta untuk menghalangnya daripada melarikan diri.

Katanya, suspek yang mempunyai lima rekod kesalahan jenayah lampau itu diberkas setelah berlaku pergelutan.

Ketika disoal siasat katanya, suspek mengaku dia panik apabila keretanya ditahan polis kerana dia baru sahaja mengambil dadah jenis metamfetamin dan meminum sedikit arak.

Polis turut menjumpai pisau dan parang di dalam kereta suspek, kata Yusoff.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.